MB nafi seru rakyat Selangor tidak perlu keluar mengundi

Amirudin melampirkan kenyataan akhbar palsu dan kenyataan asal yang dikeluarkan beliau pada 11 Oktober lalu.
Amirudin melampirkan kenyataan akhbar palsu dan kenyataan asal yang dikeluarkan beliau pada 11 Oktober lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Politik kotor menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula digunakan pihak tertentu bagi mempengaruhi undi rakyat.

Situasi tersebut dihadapi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari apabila kenyataan akhbar yang dikeluarkannya bertarikh 11 Oktober 2022 telah diputar-belit pihak tertentu.

Amirudin menerusi kemas kini di Facebook beliau pada Jumaat menafikan dakwaan mengarahkan agar rakyat Selangor tidak keluar mengundi.

"Dakwaan ini adalah palsu, disertakan kenyataan yang tepat. Tindakan ini adalah dakyah serta permainan jahat oleh pihak yang mahu mengelirukan rakyat Selangor," katanya menerusi kenyataan itu.

Pada Jumaat, tular di Facebook kenyataan media Amirudin mengenai 'Perkembangan Terbaharu di Selangor' yang telah diubah tajuk kepada 'Rakyat Selangor Tidak Perlu Keluar Mengundi'.

Inti pati kenyataan itu mengenai sesi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum komitmen persiapan kerajaan negeri mendepani kemungkinan banjir, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan dan persediaan Belanjawan Selangor 2023.

Bagaimanapun, isi kandungan asal kenyataan tersebut telah diubah dengan meminta rakyat Selangor tidak keluar mengundi pada tarikh yang akan diumum oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Artikel Berkaitan: