Selangor jamin pemberian banglo waris keluarga Saiful Bahri

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan surat hak milik kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.
Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan surat hak milik kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi jaminan menyelesaikan segera hadiah sebuah banglo bernilai RM1 juta kepada waris pencipta lagu Negaraku, lagu negeri Selangor, Melaka dan Perak sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lokasi banglow itu sudah dikenal pasti, namun memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Saiful Bahri Elyas atas sebab kelewatan tidak dapat dielakkan.

"Saya minta maaf kerana membuat waris tertanya-tanya sebab kami perlu kenal pasti (lokasi) rumah.

"Kita ambil masa sebab pegawai kita sibuk, ditambah pula dengan persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan musim banjir," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan memaklumkan lokasi rumah terbabit kepada waris keluarga berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Qus Nafiah, 50, dan adik-beradiknya melahirkan kesyukuran apabila usaha bapanya yang mencipta lagu rasmi Selangor akhirnya dihadiahkan rumah bernilai RM 1 juta daripada kerajaan negeri pada Ogos lalu.

Ini sekali gus menamatkan penantian keluarga mereka sejak 1993 yang 'turun naik' pejabat kementerian berkaitan untuk meneruskan usaha Allahyarhamah ibu mereka, Noraini Ahmad agar kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu bagi mengenang jasa bapanya itu.

Allahyarham Saiful Bahri mencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor serta Melaka meninggal dunia pada 1976 ketika berusia 52 tahun.

Artikel Berkaitan:

Karya gubahan dan susunan beliau dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas dipersetujui Dewan Diraja Selangor dan diperkenan Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bagi menggantikan lagu pertama negeri Cantik Manis.

Beliau turut menggubah banyak lagu patriotik seperti Inilah Barisan Kita, Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air.