Pas, UMNO bertemu sebelum berpisah

Gambar pertemuan dikongsi Asyraf Wajdi di Facebooknya pada Jumaat.
Gambar pertemuan dikongsi Asyraf Wajdi di Facebooknya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi satu gambar pertemuan antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, UMNO dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum parti itu akhirnya membuat keputusan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Perkongsian gambar itu memaparkan pertemuan lapan mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Asyraf Wajdi, pertemuan itu adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN).

Ujarnya lagi, MN digagaskan bersama sewaktu 22 bulan menjadi pembangkang atas deraian air mata kesyukuran bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

"Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi Pas yang membawa mesej bahawa Majlis Syura Pas dan Muktamar Pas telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak Pas juga dikhabarkan membuat resolusi serupa.

"UMNO sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali Pas, walaupun dikhianati apabila Pas bersetuju mendaftarkan PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Khamis, Pas memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN hasil mesyuarat jawatankuasa parti itu yang diadakan di Kuala Lumpur.

Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan dalam prinsip penyatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Pas akan memuktamadkan perbincangan dengan PN mengenai soal pembahagian kerusi yang bakal dipertandingkan di peringkat negeri.

Asyraf Wajdi menambah, sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dahulu, UMNO menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang kepada Pas untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada Pas.

'Begitu juga pada pertemuan kali ini, Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada Pas.

"Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15)," jelasnya.

Menurutnya sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba.

"Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan kerana UMNO yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

"Apa-apa pun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan UMNO-Pas demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

"Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini," ujarnya.