98 peratus majikan patuhi perintah kadar gaji minimum

 Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 98 peratus daripada 7,695 majikan yang diperiksa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara mematuhi perintah kadar gaji minimum RM1,100.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata pemeriksaan berkanun itu dibuat bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Feb lepas bagi memeriksa aspek-aspek pematuhan undang-undang yang berkaitan dengan perundangan buruh oleh majikan.

“Dalam tempoh itu, pihak JTK turut menerima 95 kes tuntutan difailkan pekerja berhubung kegagalan majikan membayar gaji minimum dengan 66 kes telah diselesaikan manakala 28 kes masih dalam tindakan JTK,” katanya pada Persidangan Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu sejauh manakah pematuhan majikan terhadap perintah gaji minimum.

Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai apakah instrumen untuk menggalakkan pembayaran gaji lebih tinggi bagi lepasan universiti selain daripada kadar gaji minimum, Mahfuz berkata ia tertakluk kepada persetujuan antara majikan dan pekerja.

"Bagi pihak kerajaan, terdapat garis panduan kepada majikan untuk tentukan kadar gaji permulaan bagi 160 pekerjaan terpilih berasaskan kemahiran. Bagaimanapun, hak menentukan kadar gaji ditetapkan oleh majikan sendiri dan juga penerimaan di peringkat pekerja itu sendiri," tambahnya.-Bernama

Artikel Berkaitan: