Premis rawatan kecantikan tidak bertauliah digempur

Syamsul menunjukkan antara peralatan digunakan untuk menjalankan prosedur kecantikan.
Syamsul menunjukkan antara peralatan digunakan untuk menjalankan prosedur kecantikan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia) menerusi serbuan Op Dandan di sebuah pusat kecantikan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada Khamis.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, serbuan dijalankan susulan aduan daripada seorang wanita tempatan yang mengalami komplikasi selepas menjalani prosedur suntikan kecantikan di premis terbabit.

"Mangsa mendakwa telah mendapat rawatan kecantikan di premis seperti aduan dan telah mengalami kesan sampingan yang menyebabkan bengkak dan lebam teruk pada bahagian badan tertentu.

"Hasil risikan dan lawatan ke lokasi mendapati premis tidak beroperasi sepanjang bulan Julai hingga Ogos 2022 (setelah aduan dibuat) disebabkan mangsa telah memberi amaran kepada pekerja premis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Syamsul berkata, pemantauan berkala mendapati premis berkenaan sentiasa ditutup bagaimanapun pada 20 September mangsa memaklumkan suspek terbabit telah membuka sebuah lagi pusat kecantikan di lot kedai lain.

"Hasil risikan dan pemeriksaan mendapati premis baharu masih di bangunan yang sama tetapi berada di tingkat dan lot yang berbeza.

"Pasukan risikan membuat beberapa janji temu melalui aplikasi WhatsApp dan mendapat tarikh janji temu pada 13 Oktober untuk mendapatkan rawatan dan serbuan dijalankan pada tarikh sama," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati perniagaan tersebut dimiliki warga tempatan yang menggajikan warga asing berkenaan dan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, premis terbabit menawarkan perkhidmatan kosmetik dengan harga jauh lebih murah untuk menarik pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan asing.

"Pendakap gigi mereka buat dalam RM150 sahaja, kalau buat di luar mencecah ribuan ringgit, rawatan suntikan juga harga bermula sekitar RM150," katanya.

Dalam pada itu, Syamsul berkata, kesemua warga asing terbabit tidak diiktiraf untuk menjalankan prosedur kecantikan dan siasatan lanjut akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, salah seorang warga asing terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen manakala selebihnya didapati telah menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

"Kesemua warga asing berusia lingkungan 24 hingga 41 tahun ditahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Tindakan lanjut akan turut dikenakan terhadap majikan warga asing terbabit," ujar beliau.