Bukit Gantang bakal ditandingi Bersatu, bukan Pas

Syed Abu Hussin bakal calon di kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Syed Abu Hussin bakal calon di kerusi Parlimen Bukit Gantang.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Kerusi tumpuan Parlimen Bukit Gantang hampir pasti ditandingi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi penyandangnya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Bercakap kepada pemberita, Syed Abu Hussin berkata, dalam pertemuan bersama Presiden parti pada Khamis, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan reaksi positif untuk dirinya dicalonkan semula di kerusi tersebut.

"Kami berbincang panjang lebar dan saya ditanyakan mengenai pendirian untuk PRU15 ini.

"Saya telah nyatakan persetujuan untuk tawarkan diri semula sebagai calon di kerusi Parlimen Bukit Gantang, kali ini di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

"Secara dasarnya Presiden maklumkan bahawa mengikut prinsip yang dipersetujui bersama dalam PN, memang penyandang kerusi akan dikekalkan," katanya pada Jumaat.

Pada PRU14, Syed Abu Hussin yang menang atas tiket BN keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang disebut menjadi antara kerusi rebutan selepas Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada PRU13 mahu kekal bertanding di situ.

Syed Abu Hussin pernah menyatakan pendirian sedia mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket Bebas sekiranya tidak terpilih mewakili parti, susulan Pas dan Bersatu telah mencapai persepakatan sebagai parti komponen di bawah PN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, meskipun sebelum ini timbul pertikaian mengenai kerusi berkenaan, pihaknya yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi rundingan yang baik antara kepimpinan tertinggi Bersatu dan Pas.

"Keputusan ini patut dipersetujui semua dan saya sedia bekerjasama dengan mereka (Pas) dalam menggerakkan jentera PN di sini," katanya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu yakin, peluang untuk menang adalah cerah meskipun bertanding di bawah parti berbeza.

"Walaupun saya keluar UMNO (BN), saya tetap utamakan perkhidmatan di kawasan, terus dekati rakyat dan mereka kenal saya, saya juga kenal mereka.

"Harapan saya agar rakyat terus menyokong pemimpin yang dapat memperlihatkan kesungguhan dalam memberikan khidmat bakti kepada pengundi di kawasan," katanya.

Sinar Harian pada 9 Oktober lalu melaporkan bahawa wakil rakyat PN yang sedia menyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan besar dicalonkan semula pada PRU15.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, kedudukan itu berdasarkan kepada prinsip calon boleh menang bagi memastikan satu-satu kerusi itu dapat dipertahankan.