Warga Markas 5 Divisyen diingatkan tidak terlibat politik

Abdul Rahman melakukan pemeriksaan perbarisan sempena Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ketiga Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad Rejimen Ke-6 RAD, Kem Lok Kawi, Putatan.
Abdul Rahman melakukan pemeriksaan perbarisan sempena Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ketiga Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad Rejimen Ke-6 RAD, Kem Lok Kawi, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Pegawai dan anggota Markas Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen) diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik berikutan pembubaran Parlimen pada Isnin lalu.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab mahu semua warga 5 Divisyen bersikap profesional dengan menumpukan sepenuhnya kepada bidang tugas masing-masing.

"Kita tidak mahu mereka melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam parti-parti politik yang mana sekarang ini akan mula berkempen.

"Kita tak mahu mereka terlibat sebab sekarang sepatutnya mereka lebih menumpukan kepada penugasan dan lebih profesional dalam organisasi bukannya untuk berpolitik," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ketiga Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad Rejimen ke-6 RAD, Kem Lok Kawi di sini.

Bercakap mengenai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau memaklumkan bahawa Markas 5 Divisyen sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga keadaan demi keselamatan dan kedaulatan Sabah.

"Kita bahagikan kawasan iaitu di kawasan pantai barat Sabah kepada 5 Briged dan kawasan pantai timur Sabah di bawah naungan 13 Briged.

"Jadi kedua-dua Briged ini mereka sudah mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi apa juga kemungkinan berserta dengan aset dan juga keanggotaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berkaitan persiapan menghadapi fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini di Sabah, Abdul Rahman berkata, persiapan yang sama turut dilakukan berdasarkan kepada aset yang telah ditetapkan membabitkan kawasan tanggungjawab markas berkenaan.

"Maknanya di bawah naungan 5 Briged dan 13 Briged, mereka saling bantu membantu antara satu sama lain demi melancarkan lagi operasi sekiranya terdapat Ops Murni dilaksanakan dan kita akan sedaya upaya untuk membantu.

"Kita juga telah mengenal pasti sebanyak 12 hotspotbanjir di kawasan tanggungjawab kita dan kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk diatur gerak dalam keadaan yang memerlukan.

"Ini termasuk dari segi logistik dalam usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara," katanya.