Ten Hag tak risau United gagal jaring banyak gol

McTominay meraikan jaringannya ketika bantu United tewaskan Nicosia.
McTominay meraikan jaringannya ketika bantu United tewaskan Nicosia.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag tidak bimbang dengan barisan serangannya selepas hanya menjaringkan satu gol ketika menang ke atas Omonia Nicosia dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.

Beliau mengakui ia bukan satu tugas mudah untuk menjaringkan gol terutamanya ketika bertemu lawan yang mengamalkan corak bertahan secara kompak.

Bagaimanapun, beliau percaya barisan serangannya selepas ini akan terus mencipta lebih banyak peluang sekali gus mampu menghasilkan lebih banyak jaringan.

“Kami mencipta begitu banyak peluang tetapi kami hanya menjaringkan gol sekali. Mereka sangat bersabar, mereka terus mencipta peluang demi peluang dan kemudian menjaringkan gol.

“Saya tidak bimbang kerana dalam setiap perlawanan kami menjaringkan gol kerana saya percaya kami akan meneruskannya. Semoga kami mampu mencipta lebih banyak gol untuk minggu depan,” katanya.

Pada aksi tersebut, pemain gantian United, Scott McTominay menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Nicosia 1-0.

McTominay, yang dibawa masuk ketika berbaki kurang 10 minit, merembat masuk gol kemenangan selepas menerima umpanan daripada Jadon Sancho.

Keputusan itu bermakna United kekal tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Real Sociedad, yang menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 untuk kemenangan keempat mereka.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan bermakna itu mencerahkan harapan United untuk mengungguli peringkat kumpulan dan mereka akan menentang Sheriff Tiraspol di tempat sendiri pada perlawanan seterusnya 27 Oktober ini.