Gudang diserbu, 34,560kg gula dirampas

KPDNHEP rampas 34,560 kilogram gula bernilai RM98,496. Foto: KPDNHEP Negeri Sembilan
KPDNHEP rampas 34,560 kilogram gula bernilai RM98,496. Foto: KPDNHEP Negeri Sembilan
A
A
A
SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 34,560 kilogram gula dalam serbuan di sebuah gudang di Bandar Sri Sendayan pada Khamis.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu turut menyita dokumen-dokumen yang berkaitan pembekalan bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan RM98,496.

"Serbuan di gudang itu mendapati syarikat tersebut masih belum memperolehi kelulusan bagi permohonan baharu Lesen Borong Barang Kawalan Berjadual.

"Semasa pemeriksaan dijalankan telah menemui sebanyak 34,560 kilogram (kg) gula dalam kemasan peket satu kg berada dalam milikan di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, syarikat terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu berurusan secara borong/runcit barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pengawal bekalan.

"Kesemua gula dan dokumen yang berkaitan pembekalan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Muhammad Zahir menjelaskan, pihaknya juga membuat serbuan kedua di premis tanpa nombor di Jalan Kampung Bemban di sini yang dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel dengan rampasan sebanyak RM50,252.

"Siasatan mendapati terdapat dua buah lori berada di kawasan berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan di mana terdapat kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki lori itu ke dalam tangki di belakang lori yang lain.

Dua buah lori berada di lokasi dalam keadaan yang mencurigakan. Foto: KPDNHEP Negeri Sembilan
Dua buah lori berada di lokasi dalam keadaan yang mencurigakan. Foto: KPDNHEP Negeri Sembilan

Artikel Berkaitan:


"Dua orang suspek warganegara tempatan yang kedua-duanya berumur 46 tahun telah ditahan bagi tujuan siasatan," katanya.

Muhammad Zahir berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat cecair yang disyaki minyak diesel dianggarkan sebanyak 10,000 liter berada dalam tangki di belakang sebuah lori berkenaan.

"Dianggarkan sebanyak 200 liter minyak diesel berada dalam tangki asal sebuah lagi lori di situ.

"Turut ditemui sebuah tangki tangki intermediate bulk container (IBC) yang juga disyaki mengandungi minyak diesel dianggarkan sebanyak 350 liter," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal terhadap premis dan individu yang ditahan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang lesen, permit, permit khas atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan bagi berurusan dengan barang kawalan berjadual bagi minyak diesel.

"Hasil serbuan ini, sebanyak 10,550 liter minyak diesel, dua buah lori, tangki IBC dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel telah disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM50,252," katanya.