Semantan Troopers naib juara Piala Sultan Pahang 2022

Semantan Troopers naib juara Piala Sultan Pahang 2022 baru-baru ini.
Semantan Troopers naib juara Piala Sultan Pahang 2022 baru-baru ini.
A
A
A

BIARPUN Semantan Troopers FC masih baharu ditubuhkan tidak sampai setahun namun ia tidak menghalang pasukan yang majoritinya pemain kelahiran Temerloh muncul naib juara Piala Sultan Pahang 2022 baru-baru ini.

Dalam kejohanan tersebut, pasukan itu tewas tipis 1-2 kepada lawan dari Kelantan, Pasir Pekan FC dalam perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan sekali gus membawa pulang hadiah RM10,000 dan medal.

Sebanyak lapan pasukan bertanding dalam kejohanan tersebut terdiri empat wakil dari Pahang iaitu YPM FC, Alam Mahkota FC, Jerantut FC dan Semantan serta dua wakil Selangor, Teleflow FC dan Kru FC bersama Kerteh FC (Terengganu) dan Pasir Pekan FC (Kelantan).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadir berkenan menyaksikan perlawanan akhir itu bersama anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang (PRP), Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Ariff Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, pengurus pasukan Semantan Troopers FC, Muhmmad Affif Ashraf Jamalludin memberitahu, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang bekerja keras untuk ke final biarpun terlepas gelaran juara.

Menurutnya, tiada harapan tinggi diletakkan memandangkan mereka berdepan saingan sengit dari tujuh pasukan lain yang beraksi dam kejohanan tersebut.

"Masing-masing ada kelebihan dan pengalaman tersendiri, nasib kurang menyebelahi Semantan Troopers FC untuk muncul juara.

"Kami akan bekerja lebih keras lagi sekali gus dapat mengharumkan nama Pahang dan Temerloh khususnya selepas ini," katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, seramai 25 pemain yang berusia 25 tahun ke bawah menggalas cabaran pasukan itu dan akan menyertai lebih banyak kejohanan selepas ini.

"Sebelum ini, kita ada sertai liga di Gombak pada Januari hingga Julai 2022 dan berjaya menduduki tangga keempat liga antara 12 pasukan yang bertanding selain beraksi dalam Piala Merdeka Kuantan 2022 namun tersekat di peringkat suku akhir," jelas beliau lagi.