Henjutan padu Ivan Ramiro

Oleh AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI

Ivan Ramiro (tiga dari kiri), Syritsa (tiga dari kanan), Nur Aiman (dua dari kiri) dan Andrey Zeits (dua dari kanan) selepas Peringkat 3 Petronas LTdL 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands pada Khamis.
Ivan Ramiro (tiga dari kiri), Syritsa (tiga dari kanan), Nur Aiman (dua dari kiri) dan Andrey Zeits (dua dari kanan) selepas Peringkat 3 Petronas LTdL 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands pada Khamis.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PELUMBA Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai Peringkat 3 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berakhir di Genting Highlands pada Khamis.

Pada perlumbaan sejauh 123.7 kilometer (km) yang bermula dari Putrajaya itu, Ivan Ramiro melakukan henjutan solo ketika perlumbaan berbaki satu km sebelum menuju garisan penamat dengan catatan 3 jam 25 minit dan 31 saat (s).

Tempat kedua dimenangi pelumba EF Education - Easypost, Hugh John Carthy dengan catatan 3:25.50s manakala rakan sepasukan, Ivan Ramiro, Einer Augusto Rubio Reyes melengkapkan podium ketiga (3:27.27s).

“Saya berasa amat gembira dengan kemenangan hari ini kerana kami sememangnya meletakkan sasaran untuk menjuarai perlumbaan di sini (Genting Highlands dan ia ternyata berhasil.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berpasukan yang baik antara rakan-rakan sepasukan saya sejak awal perlumbaan. Setiap perancangan kami berjalan dengan baik hari ini.

“Ketika perlumbaan berbaki satu km, saya sedar mampu bergerak solo dan itu kunci kejayaan. Saya mengharungi musim yang sukar, jadi kemenangan ini amat penting bagi saya,” kata Ivan Ramiro sejurus tamat perlumbaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff turut menampilkan kayuhan memukau apabila kekal menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas berakhirnya perlumbaan di Genting Highlands.

Percaturan awal Nur Aiman untuk menawan dua zon pendakian, masing-masing di Tekali (Bukit Hantu) dan Look Out Point benar-benar menjadi sehingga membolehkan dia menyambar 12 mata maksimum.

Kejayaan di dua zon pendakian awal itu menyaksikan Nur Aiman yang juga pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei tahun lalu, kini mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan 29 mata - empat mata di depan Ivan Ramiro.

“Syukur alhamdulillah, apa yang Aiman target berjaya. Seperti yang Aiman katakan semalam, Aiman memang letak sasaran di dua zon pendakian awal hari ini dan sasaran tersebut berjaya dilaksanakan.

“Esok (Peringkat 4) tak ada zon pendakian, jadi Aiman cuba tambahkan mata pada Peringkat 5 nanti. Aiman akan cuba untuk terus kekalkan jersi ini (Jersi Merah) tetapi cabaran kali ini lagi sengit,” ujar Nur Aiman.

Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa pula kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dan Jersi Hijau (Raja Pecut) sekalipun menamatkan Peringkat 3 di tangga ke-57.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula kini bertukar tangan apabila dimiliki pelumba Astana Qazaqstan Team, Andrey Zeits yang merampasnya daripada rakan sepasukan Nur Aiman, Jambaijamts Sainbayar.

Selepas Genting Highlands menjadi medan ujian pakar pendakian, Peringkat 4 pada Jumaat dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Ipoh, Perak dengan jarak laluan sejauh 137.8km bakal menjadi peluang buat 'kaki pecut' menyambar podium apabila 3 zon pecutan menjadi taruhan - Hutan Melintang, Kampung Gajah dan Tanjung Tualang.



KEPUTUSAN PERINGKAT 3 LTdL 2022

Pendahulu Keseluruhan (Jersi Kuning)

1. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) 11:18.24s

2. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 11:18.47s

3. Einer Augusto Rubio Reyes (Movistar Team) 11:20.26s



Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih)

1. Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) 11:20.57s

2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 11:21.07s

3. Ariya Phounsavath (Thailand Continental Cycling Team) 11:26.47s



Raja Pecut (Jersi Hijau)

1. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 27 mata

2. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 19 mata

3. Craig Wiggins (Ara Pro Racing Sunshine Coast) 15 mata



Raja Bukit (Jersi Merah)

1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) - 29 mata

2. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) - 25 mata

3. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 24 mata



Pasukan Pendahulu Keseluruhan

1. Movistar Team - 34:01.59s

2. EF Education - Easypost - 34:04.02s

3. Uno-X Pro Cycling Team - 34:06.00s



Pasukan Terbaik Asia

1. Terengganu Polygon Cycling Team - 34:13.02s

2. Thailand Continental Cycling Team - 34:34.19s

3. Team Ukyo - 34:42.08s