BN Kedah sifatkan Suraya ahli politik berjiwa besar

Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Shaiful Hazizy Zainol Abidin
A
A
A

ALOR SETAR - BN Kedah menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sebagai seorang ahli politik yang berjiwa besar kerana meletak jawatan sebagai Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga Kerajaan Negeri Kedah pada Khamis.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, fokus Suraya yang mahu membantu parti pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan beliau seorang yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Menurutnya, proses pilihanraya memerlukan fokus dan tenaga yang maksimum dan jika pemimpin itu kekal menjawat jawatan yang sama pasti akan merugikan rakyat sahaja.

"Datuk Suraya amat dikenali oleh rakyat Kedah sebagai seorang YB yang cukup mesra rakyat serta sentiasa bekerja keras dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap isu-isu rakyat di bawah portfolio yang telah dipertanggungjawabkan kepada beliau.

"Dengan pengumuman pembubaran Parlimen baru-baru ini dan sebagai seorang ahli politik yang baik, keputusan perletakkan jawatan ini bagi saya membuktikan beliau seorang ahli politik yang berjiwa besar dan terus meletakkan kebajikan rakyat melebihi yang lainnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Walau bagaimanapun jelas Shaiful Hazizy, perkara itu dapat dielakkan sekiranya kerajaan negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Hal ini bagi memberi peluang sewajarnya kepada setiap ahli politik untuk melakukan tanggungjawab dan tugas mereka kepada parti dan juga para pengundi waima bakal pengundi mereka di kawasan yang bakal ditandingi.

Justeru, tindakan tidak membubarkan DUN adalah tindakan kejam kerajaan negeri Kedah bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ahli politik yang meletakkan jiwa dan raga demi membela kepentingan dan kebajikan rakyat," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: