'Sikap istiqamah Pas suntik semangat PN hadapi PRU15'

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk bergerak dengan lebih tersusun dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau amat menghargai semangat setia kawan pemimpin-pemimpin Pas yang terus istiqamah mempertahan kerjasama tersebut.

"Saya amat menghargai keputusan Jawatankuasa Pas Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN dalam menghadapi PRU15.

"Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada PN untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat.

"Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan rakan-rakan pimpinan Pas yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama Pas dalam PN," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Pagoh itu, berharap PN akan memperoleh mandat rakyat pada PRU15 kelak.

"Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat," katanya.

Pada Khamis, Pas memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN hasil mesyuarat jawatankuasa parti itu yang diadakan di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan dalam prinsip penyatuan ummah.

Dalam masa sama, Pas akan memuktamadkan perbincangan dengan PN mengenai soal pembahagian kerusi yang bakal dipertandingkan di peringkat negeri.