Laporan siasatan buku Tommy Thomas dinyahklasifikasi

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness" tulisan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataannya pada Khamis memaklumkan, laporan itu akan didedahkan umum.

"Dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan dakwaan buku tersebut dan laporan semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September dan 7 Oktober yang lalu," katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan mengenai penyebaran laporan siasatan terhadap buku Tommy yang dimuat naik di sebuah laman web.

Jumaat lalu, Ismail Sabri mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku oleh Tommy.

Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk mengambil tindakan sewajarnya mempertahankan kedaulatan negara dan meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

"Mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008 dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018," katanya.

Beliau berkata, syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan itu adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli pasukan.

"Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.