Polis terima laporan penyebaran siasatan buku Tommy Thomas

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan polis mengenai penyebaran siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dimuat naik di sebuah laman web.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203a Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku oleh Tommy.

Arahan itu dibuat susulan pembentangan laporan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang ditulis Tommy.

Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan itu telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Pasukan petugas khas siasatan itu mengambil masa sembilan bulan bermula Disember tahun lalu untuk melengkapkan laporan dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tommy dalam bukunya itu.

Artikel Berkaitan: