PRU15: Senarai calon Bersatu di peringkat akhir

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A
PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini di peringkat akhir untuk menyenaraikan calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.

"Senarai calon sedang diteliti di peringkat akhir dan kita pilih calon terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa pemilihan calon parti kepada media selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Ketiga Putrajaya-Genting Highlands di sini pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ditanya adakah beliau akan bertanding pada PRU15, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau menunggu keputusan parti mengenai perkara itu.

"Insya-ALLAH apa sahaja diumum parti saya akan patuh dan apa yang parti minta saya akan buat,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018. - Bernama