PRN Melaka: Pas tak gentar guna logo bulan, penyatuan ummah akan ranapkan PH - Sanusi

KOTA BHARU - Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan parti itu sedia menggunakan logo bulan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak dibenarkan bertanding menggunakan lambangnya sendiri pada 14 November ini
Beliau berkata, Pas tidak gentar menggunakan simbol bulan kerana tidak mempunyai sebarang masalah.
"Pengunaan logo Pas itu bagi memastikan agenda penyatuan ummah diteruskan dalam usaha menentang Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (BMI) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, keputusan mahkamah memberi penangguhan kepada pembatalan itu memberi ruang kepada PN untuk terus bergerak sebagai gabungan yang sah
Menteri Besar Kedah itu berkata, penyokong agenda penyatuan ummah di seluruh negara mahu kerjasama berkenaan diteruskan tanpa mengira lambang yang digunakan dalam pilihan raya.
Jelas beliau, kerjasama atas dasar penyatuan ummah sebelum ini terbukti mampu menewaskan PH dan yakin pendekatan sama dapat memberikan hasil serupa di Melaka.
"Kerjasama kita atas nama penyatuan ummah akan meranapkan PH.
"Semua ini akan membawa kita masuk ke Pilihan Raya Umum Ke-16 sebagai kerajaan Pusat yang menanti," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menggesa penyokong mempergiat gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya dan tidak mudah terpengaruh dengan janji politik kerajaan.
Beliau turut mendakwa kerajaan ketika ini gagal menunaikan banyak janji kepada rakyat selain menyifatkan pelbagai kelemahan dalam pentadbiran negara sebagai alasan untuk rakyat membuat perubahan pada pilihan raya akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

