Jumlah pelajar UiTM hadapi masalah kesihatan mental menurun

Roziah diiringi Rita Sosilawati menandatangani poster 'Are You Ok Centre' di UiTM Shah Alam pada Khamis.
Roziah diiringi Rita Sosilawati menandatangani poster 'Are You Ok Centre' di UiTM Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bilangan pelajar dikesan menghadapi masalah psiko sosial atau kesihatan mental di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menurun berbanding ketika penularan Covid-19.

Naib Canselornya, Datuk Dr Roziah Mohd Janor bagaimanapun berkata, jumlah pelajar terbabit adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan pelajar di universiti berkenaan yang melebihi 180,000.

"Berdasarkan maklumat yang dikongsi dengan pengurusan kanan (UiTM) kes psiko sosial menurun iaitu 150 kes tahun ini, berbanding 183 kes ketika pandemik Covid-19 melanda pada tahun lalu.

"Jumlah kes ini adalah jumlah yang sedikit berbanding jumlah pelajar keseluruhan 184,000, namun bagi saya satu kes pun boleh menyebabkan pelbagai risiko termasuk bunuh diri," katanya.

Beliau ditemui pemberita Majlis Menandatangani Surat Hasrat Antara UiTM Dengan Wanita Ikon Selangor 2022 dan Majlis Pelancaran 'Are You Ok Centre' di UiTM Shah Alam pada Khamis.

Hadir sama, Wanita Ikon Selangor, Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau lebih dikenali dengan nama Datin Rita Sosilawati.

Roziah berkata, objektif penubuhan 'Are You Ok Centre' adalah sebagai medium interaktif untuk meluahkan dan menyalurkan sebarang isu dan permasalahan kehidupan menyumbang kepada tekanan dan masalah mental dalam kalangan warga UiTM termasuk kakitangannya.

"Perkara ini yang paling merisaukan dan sebab itu pentingnya saluran seperti ini diadakan sebab pelajar- pelajar yang ada masalah emosi ini keseorangan dan kita mahu mereka bergaul dengan kawan-kawan.

Artikel Berkaitan:

"Lazimnya kes pelajar mengalami isu psiko sosial ini membabitkan pelajar yang mempunyai masalah hubungan pada usia mereka dan kesan kehilangan orang tersayang (akibat Covid-19)," katanya.

'Are You Ok Centre' adalah inisiatif kolaborasi antara pihak Wanita Ikon Selangor dengan UiTM khususnya Pusat Kaunseling dan Kerjaya bagi menyediakan ruang dan peluang bagi meningkatkan aspek kesejahteraan mental dalam mengharungi cabaran kehidupan yang semakin meningkat kini.

Pusat ini akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang terpilih dan terlatih terdiri daripada Badan Peers Kanselor dan Program Rakan Kaunselor dipantau oleh pegawai psikologi.