'Tottenham tolonglah kekal fokus'

Conte
Conte
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur perlu melakukan yang lebih baik untuk mengekalkan fokus selepas hampir dipaksa seri Eintracht Frankfurt yang beraksi 10 pemain sebelum menjinakkan kelab Bundesliga Jerman itu 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur, London.

“Sejujurnya, saya merasakan pasukan berdepan situasi bahaya pada minit-minit akhir. Saya menjerit kepada para pemain supaya fokus kerana bagi kami kemenangan perlawanan ini sangat penting.

“Satu kerugian sekiranya gagal membawa pulang tiga mata, selepas segala yang kami lakukan sepanjang perlawanan, pasukan bermain sangat bagus dengan banyak kombinasi dan kami mencipta banyak peluang.

"Namun pada penghujung perlawanan, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan atas sebab ini, ia perlu menjadi (pengajaran) yang besar untuk kami elakkan berulang pada masa dan fokus sehingga tamat,” kata Conte.

Dalam perlawanan Kumpulan D itu, Daichi Kamada terlebih dulu meletakkan Frankfurt mendahului pada minit ke-14, sebelum Son Heung-min menyamakan kedudukan di minit ke-20.

Harry Kane kemudian memulakan kebangkitan kelab London itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28, diikuti jaringan Heung-min minit 36'.

Biarpun begitu Frankfurt terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kehilangan pemain pertahanan Tuta pada minit ke-59', selepas menerima kad kuning kedua.

Namun begitu anak buah Oliver Glasner yang tidak mengalah kembali mengasak untuk mendapatkan gol penyamaan, selepas Kane terlepas satu lagi sepakan penalti, berjaya merapatkan kedudukan menerusi Faride Alidou pada minit ke-87.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan Tottenham terus memperkukuhkan kedudukan dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Bagaimanapun kemarahan Conte tidak menular kepada Kane yang terlepas penalti apabila dia memuji permainan penyerang itu sepanjang perlawanan,

"Kami bercakap tentang seorang pemain yang sangat sukar untuk terlepas sepakan penalti, tambahan pula seorang penyerang. Saya juga fikir hari ini pada akhirnya dia benar-benar letih selepas banyak berlari dan bermain untuk pasukan.

"Paling penting dia menjaringkan gol dan ini adalah berita baik untuk kami, juga Heung-min. Sekarang, perlawanan ini berakhir dan (ia) kemenangan yang baik, kami mendahului kumpulan. Kami perlu fokus pada Liga Perdana kerana akan menghadapi perlawanan yang sukar menentang Everton," kata pengendali dari Itali itu.