Adnan umum bersara

Adnan mengumumkan akan bersara pada persidangan DUN Pahang di sini.
Adnan mengumumkan akan bersara pada persidangan DUN Pahang di sini.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Tan Sri Adnan Yaakob mengumumkan persaraannya pada penggal ini selepas memberikan khidmat kepada rakyat lebih 36 tahun.

Katanya, telah diberikan kepercayaan menjadi wakil rakyat di DUN Pelangai selama lapan penggal dan pernah mentadbir Pahang apabila mendapat mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun.

“Kita semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi.

"Saya menganggap ini ucapan terakhir dalam dewan sebelum bersara sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini.

Beliau turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya dalam mentadbir Pahang selama beliau mencurahkan khidmat dan baktinya.

Adnan turut melahirkan rasa syukur kerana Pahang kini ditadbir kerajaan yang baik di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dalam meneruskan legasi untuk membantu rakyat.

"Pahang bernasib baik mendapat hamba ALLAH bernama Wan Rosdy, anak (kelahiran) Lipis menjadi Menteri Besar. Wan Rosdy merupakan seorang yang mempunyai perangai (temperament) baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah teruja (excited) semacam sesetengah orang.

"Harap agar Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang dan saya berbangga dengan kebolehan YAB Menteri Besar dalam menambah baik dan melakukan perkara-perkara baharu dengan dibantu oleh kepimpinan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya Wan Rosdy dapat mengemudi BN pada pilihan raya ini dan insya-ALLAH dapat membentuk kerajaan Negeri Pahang," luah beliau lagi.