[VIDEO] Pembubaran DUN tiga negeri Pas dimuktamadkan esok

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pas iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan dijangka diketahui selepas mesyuarat Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur pada Khamis.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Hasil mesyuarat Jawatankuasa harian Pas pada pagi Selasa di Kuala Lumpur akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat di Pejabat Agung Pas esok (Khamis).

"Jadi, keputusan sama ada DUN dibubarkan atau tidak akan diberitahu esok kerana tidak ada lagi mesyuarat (berhubung perkara ini) selepas ini. Apa-apa keputusan kita akan tahu esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman pada Rabu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini mesyuarat bagi menetapkan calon-calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum diputuskan.

"Setakat ini belum ada lagi senarai calon. Biasanya kita akan sediakan senarai calon dengan mengetengahkan tiga nama dan segala keputusan akan diputuskan di peringkat pusat.

"Saya sendiri pun tidak tahu sama ada disenaraikan atau sebaliknya. Saya hanya serahkan segalanya kepada parti untuk diputuskan," jelas beliau.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.