Musk nafi berbual dengan Putin isu perang Ukraine

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Elon Musk - Foto AFP
Elon Musk - Foto AFP
A
A
A
LOS ANGELES - Bilionair paling kaya di dunia, Elon Musk pada Selasa menafikan laporan bahawa beliau berbual dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin berhubung potensi penggunaan senjata nuklear baru-baru ini.

Dalam surat berita untuk pelanggan Kumpulan Eurasia sebelum ini, Ketua Perundingan Risiko Politik Kumpulan Eurasia, Ian Bremmer menulis bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu memberitahunya bahawa Putin bersedia untuk berunding dalam konflik perang Ukraine.

Namun, katanya, kesediaan Putin itu hanya akan berlaku jika Crimea kekal sebagai wilayah Rusia dan Ukraine mengiktiraf pengambilan wilayah Ukraine iaitu Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia oleh Moscow.

Dalam surat berita itu yang pertama kali dilaporkan oleh Vice News, Bremmer berkata, Musk mendakwa telah diberitahu oleh Putin bahawa matlamat perang itu akan dicapai termasuk potensi penggunaan senjata nuklear jika Ukraine merampas semula wilayah di Crimea, yang Rusia kuasai pada tahun 2014.

Justeru, seorang pelabur Amerika Syarikat (AS), Sven Henrich bertanya kepada Musk melalui akaun Twitternya jika benar dakwaan bahawa bilionair itu pernah menghubungi Putin.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, Musk menjawab dalam ciapannya pada Selasa: “Tidak, tidak. Saya telah bercakap dengan Putin hanya sekali dan itu kira-kira 18 bulan yang lalu. Perkara subjek adalah tentang angkasa.”

Namun, Bremmer yang merupakan pakar sains politik di AS kemudian menciap sekali lagi di Twitter bagi menegaskan bahawa Musk telah memberitahunya bahawa bilionair tersebut telah bercakap dengan Putin.

"Elon Musk memberitahu saya, beliau telah bercakap dengan Putin dan Kremlin secara langsung mengenai Ukraine," menurut ciapan pakar sains politik itu di Twitter selepas Musk membuat penafian tersebut. - Agensi