UMNO Shah Alam terima keputusan Selangor tidak bubar DUN

Azhari
Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Shah Alam menyambut baik keputusan kerajaan Selangor tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan itu selari dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan pada Selasa.

"Namun, perjuangan parti di semua kerusi Parlimen termasuk di Parlimen Shah Alam tetap berjalan selaras ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ada atau tidak pilihan raya DUN, kita tetap berjuang untuk kepentingan rakyat sebagai fokus utama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azhari memberitahu, perjuangan untuk memenangi kerusi Parlimen dan DUN akan menjadi tumpuan utama UMNO bahagian itu demi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kita akan terus bekerja dan mendekati pengundi walaupun terdapat pelbagai halangan, namun kita istiqamah untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air," ujar beliau.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Selangor serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Amirudin berkata, setakat ini keputusan diputuskan Pakatan Harapan (PH) itu kekal hingga hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.