Bajet 2023 bukan pembentangan sia-sia: Khairy

Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lepas bukan satu perkara sia-sia walaupun pembubaran Parlimen diumumkan semalam.

Beliau berkata, belanjawan itu adalah komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibawa semula ke persidangan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya BN memerintah semula.

"Saya tidak anggap ia sia-sia sebaliknya ia adalah apa yang akan dibawa semula ke Dewan Rakyat selepas PRU nanti sekiranya mandat diberikan semula kepada Datuk Seri Ismail Sabri.

"Jadi rakyat tahu bahawa inilah yang akan dibawa semula oleh Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi BN sekiranya mendapat mandat daripada rakyat.

"Semua yang ada dalam pembentangan Menteri Kewangan itu adalah perbelanjaan yang sudah diperuntuk. Ia bukan manifesto berdasarkan janji-janji yang tidak diperuntuk, itu beza antara belanjawan dan manifesto,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Khairy berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku ‘An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan pembentangan Bajet 2023 hanya sia-sia apabila Parlimen dibubar sebelum ia diluluskan. - Bernama