Tiada layanan istimewa untuk Najib di penjara

Nordin Muhamad
Nordin Muhamad
A
A
A

KAJANG - Tiada layanan istimewa diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Penjara Kajang.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, pihaknya perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika menguruskan semua banduan.

"Kita memberi layanan sama, kita juga tidak pilih kasih ketika memberi layanan kepada semua banduan di penjara ini.

"Beliau (Najib) sedang menjalani hukuman di penjara, maka beliau tertakluk dengan peraturan dan Akta Penjara 1995," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini pada Selasa.

Nordin berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas akan diambil, jika mendapati ada kakitangan Jabatan Penjara Malaysia memberi layanan istimewa kepada banduan.

"Kita perlu menghormati kedaulatan undang-undang, pegawai penjara tiada 'kuasa' memberi layanan istimewa, kita hanya menguatkuasakan undang-undang terhadap banduan," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Artikel Berkaitan: