Terap mesej antirasuah sempena sambutan Maulidur Rasul

Wan Azliana (berdiri kanan) bersama petugas mengagihkan belon Rasuah Busters kepada kanak-kanak bagi memupuk antirasuah dalam diri golongan sasar tersebut.
Wan Azliana (berdiri kanan) bersama petugas mengagihkan belon Rasuah Busters kepada kanak-kanak bagi memupuk antirasuah dalam diri golongan sasar tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan sahaja perjuangan Rasulullah perlu dikenang dan diambil iktibar oleh seluruh umat Islam, malah sambutan hari bersejarah kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW perlu diterapkan dengan perasaan benci kepada amalan rasuah.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, majlis sambutan perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah yang diadakan di Kepong, dekat sini baru-baru ini digunakan sebaiknya bagi menyemai antirasuah dalam kalangan masyarakat termasuk kumpulan kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata, penerapan budaya membenci rasuah perlu disebar luas dan peringatan tentang bahaya perbuatan jijik itu perlu diuar-uarkan kepada orang ramai setiap masa terutama pada hari bersejarah seperti sambutan Maulidur Rasul.

Katanya, peringatan berterusan dilihat sebagai jalan terbaik untuk membudayakan antirasuah dalam kalangan masyarakat, seterusnya menjadi pegangan terbaik umat Islam untuk menolak sepenuhnya amalan rasuah yang terbukti membinasakan negara.

"Menerusi anjuran bersama ASWA dan Persatuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri sempena sambutan perdana Maulidul Rasul 1444 Hijrah dengan tema 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran', usaha memerangi rasuah turut diterapkan kepada orang ramai.

"Bukan sahaja kita mengingati kebesaran Nabi Muhammad SAW di hari yang bersejarah ini, usaha agresif menyelitkan peringatan tentang bahaya rasuah disampaikan kepada orang ramai dan pendekatan santai dilaksanakan bagi memupuk rasa benci rasuah kepada golongan kanak-kanak," katanya kepada kru Rasuah Busters.

Wan Azliana (empat dari kanan) bersama peserta dan penduduk PPR Intan Baiduri berarak meraikan sambutan perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah di Kepong, baru-baru ini.
Wan Azliana (empat dari kanan) bersama peserta dan penduduk PPR Intan Baiduri berarak meraikan sambutan perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah di Kepong, baru-baru ini.

Majlis sambutan Perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah di PPR Intan Baiduri bermula sejak 8 pagi sehingga solat Zohor, sebelum diteruskan kembali selepas Maghrib menerusi penganjuran forum Maulidur Rasul sehingga 9.30 malam.

Artikel Berkaitan:

Forum bertajuk 'Mencontohi Keperibadian Rasulullah SAW' telah disampaikan oleh Dr Abd Rashid Abd Razak.

Pada sebelah pagi, pelbagai aktiviti diadakan sempena majlis sambutan Perdana Maulidur Rasul itu iaitu program berselawat, qasidah dan ceramah.

Apa yang menariknya, perarakan Maulidur Rasul turut diadakan dan disertai oleh sebilangan besar penduduk PPR Intan Baiduri.

Bagi menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah, sumbangan naskhah al-Quran disampaikan pasukan Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan kepada pihak surau Al Hijrah PPR Intan Baiduri.