Suami isteri ditahan bersama 30kg ganja

Cheng San (tiga dari kiri) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan ketulan ganja yang dirampas daripada pasangan suami isteri dalam serbuan di Taman Malwira, Kubang Semang pada Rabu lalu.
Cheng San (tiga dari kiri) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan ketulan ganja yang dirampas daripada pasangan suami isteri dalam serbuan di Taman Malwira, Kubang Semang pada Rabu lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai RM75,000 di sebuah rumah di Taman Malwira, Kubang Semang, di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, serbuan dilakukan jam 11 malam itu hasil risikan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPT.

Menurutnya, pemeriksaan dibuat menemukan 30 kilogram (kg) ganja yang disorokkan dalam bungkusan guni di rumah terbabit.

"Hasil risikan mendapati pasangan suami isteri berkenaan aktif melakukan aktiviti pengedaran ganja sejak Mei tahun lalu dan dijual untuk pasaran tempatan.

"Selain ganja, kita turut menyita sebuah kenderaan dan beberapa utas rantas serta cincin emas daripada suspek wanita yang merupakan warga Thailand," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, di sini pada Selasa.

Cheng San berkata, kesemua rampasan dan sitaan bernilai RM103,270.

Cheng San (tiga dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Cheng San (tiga dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas.

Beliau berkata, pasangan suami isteri berusia 32 dan 36 tahun itu kini selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup sekiranya disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kes berasingan, Cheng San berkata, pihaknya menangkap seorang pekerja kilang berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran daun ketum pada Jumaat lalu.

Menurutnya, lelaki itu ditahan kira-kira jam 5.30 pagi dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di tepi jalan di Bukit Indera Muda, di sini selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit kita menemui 45 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 450 kilogram (kg) bernilai RM4,500 di bahagian belakang MPV berkenaan.

"Suspek menyewa kenderaan itu untuk menghantar daun ketum ke Kota Baharu, Kelantan selepas mengambil bekalan di Kedah.

"Siasatan mendapati lelaki itu menerima upah sebanyak RM1,000 setiap kali penghantaran,"katanya.

Cheng San berkata, suspek kini direman selama enam hari dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.