Terengganu tunggu arahan Pas Pusat

Husain
Husain
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu hanya menunggu arahan Pas Pusat sama ada akan kekal dengan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya.

Pesuruhjayanya, Datuk Husain Awang berkata, buat masa ini DUN Terengganu tidak dibubarkan dan hanya menunggu keputusan dan arahan terbaharu.

"Saya tidak dimaklumkan lagi sama ada Pas negeri masih kekal dengan keputusan sebelum ini iaitu tidak membubarkan DUN selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada petang ini (Isnin).

"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam masa terdekat dan sebarang keputusan akan diketahui selepas Pas negeri mengadakan mesyuarat, mungkin pada hari ini atau esok,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Husain berkata, tarikh untuk mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan keputusan kerajaan negeri selepas pembubaran Parlimen akan dimuktamadkan pada Rabu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Hanafiah Mat berkata, setakat ini Pas Terengganu masih berpegang dengan keputusan pucuk pimpinan parti iaitu tidak membubarkan DUN sebelum Mac 2023.

"Walaupun Parlimen telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15, kita tidak akan membubarkan DUN. Keputusan itu konsisten untuk semua negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu," jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tertakluk kepada sebarang perubahan oleh kepimpinan tertinggi Pas Pusat.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa petang Isnin selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Pas mendominasi dengan memenangi 22 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN Terengganu iaitu Chukai, Air Putih, Kemasik, Paka, Rantau Abang, Sura, Pengkalan Berangan, Alor Limbat, Bukit Payong, Rusila, Kuala Berang, Ajil, Manir, Ladang, Wakaf Mempelam, Bandar, Batu Buruk, Bukit Tunggal, Tepoh, Buluh Gading, Jabi dan Kota Putera.

Baki sebanyak 10 kerusi lagi dimenangi UMNO iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.