Kerajaan negeri, persekutuan perlu sehaluan

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu rakyat negeri ini agar memilih kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi muat naik di laman Facebooknya pada Isnin, beliau berkata, kerajaan yang sehaluan membolehkan lebih banyak peruntukan dan bantuan daripada pusat akan disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

"Saya merayu kepada rakyat Johor, bila tiba masanya, pilihlah kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan kerajaan Johor.

"Dengan kerajaan yang sehaluan, Insya-ALLAH akan mendapat lagi banyak peruntukan dan bantuan daripada pusat yang disalurkan kepada rakyat Johor sekali gus membantu dalam usaha pembangunan negeri dan mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030," katanya.

Menurut beliau, kestabilan politik yang dikecapi kerajaan negeri membolehkan Johor mencapai pelbagai kejayaan pada hari ini.

Johor yang telah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) enam bulan lalu, adalah penting juga untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil dan Insya-ALLAH, yang selari dengan kerajaan negeri.

"Kestabilan politik yang dikecapi kerajaan negeri membolehkan Johor mencapai beberapa kejayaan membanggakan dari aspek ekonomi, pelaburan, pelancongan dan sukan dalam hanya tempoh yang singkat," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Johor, Mac lalu Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dengan memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan.