Serah SPR tentukan tarikh PRU15: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyerahkan keputusan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembubaran Parlimen selari dengan pendirian Pemuda UMNO sejak politik negara menjadi tidak menentu bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Ujarnya lagi, ini bagi membolehkan rakyat memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara demi kesejahteraan mereka.

"Kini terserahlah kepada pihak SPR untuk menentukan tarikh PRU15 yang boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim tengkujuh," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan Umum ke-15 PRU15.

Ismail Sabri mengumumkan perkara itu secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan jam 3 petang pada Isnin.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

"Sudah tentu Tuanku telah mengambil kira semua faktor termasuk setelah Tuanku sendiri mencemar duli turun mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara pada hari Khamis lalu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, Pemuda UMNO dan BN telah bersiap siaga termasuk mengerahkan semua jentera bagi menghadapi PRU15.

"Pemuda UMNO dan BN telahpun bersiap siaga termasuk mengerahkan semua jentera di 13,205 cawangan-cawangan seluruh negara dan sukarelawan-sukarelawan Skuad Sabil di 191 Parlimen untuk menghadapi PRU-15.

"Disamping membantu rakyat sekiranya berlakunya musibah lebih awal daripada yang diramalkan," jelasnya.