Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Fathi, Nik Ahmad Kamal
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Fathi, Nik Ahmad Kamal
A
A
A
KUALA LUMPUR - Negara kini ditadbir oleh kerajaan sementara dan segala urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan pada Isnin.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Beliau berkata, tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

"Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu," katanya pada Isnin.

Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Isnin.

Muhammad Fathi berkata, antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Berikutan itu, beliau berkata, Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

Bagi Ahli Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.
Artikel Berkaitan:


Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata, terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

"Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah," jelas beliau. - Bernama