Remaja maut, polis cari saksi kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas kejadian. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa selepas kejadian. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 266 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian kira-kira jam 9 pagi melibatkan mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan disyaki berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa di lorong kiri telah hilang kawalan lalu melanggar tembok kiri pembahagi lebuh raya menyebabkan motosikalnya terbabas, jatuh di lorong kanan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nanda berkata, orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis di balai polis berhampiran.

"Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sudesh Kumar, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban di talian 016-4830853 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan: