Duta China ucap terima kasih kepada Musk

Elon Musk - Foto AFP
Elon Musk - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Duta Besar China ke Amerika Syarikat (AS), Qin Gang baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepada lelaki paling kaya di dunia, Elon Musk kerana cadangannya bagi mewujudkan zon pentadbiran khas untuk Taiwan.

Cadangan itu adalah sebagai penyelesaian terhadap kebuntuan yang telah lama wujud sehingga menyebabkan perbalahan antara Beijing dan Taipei.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada @elonmusk berikutan gesaannya untuk keamanan di seluruh Selat Taiwan dan ideanya tentang mewujudkan zon pentadbiran khas untuk Taiwan," ciap Gang menerusi Twitter pada Sabtu.

Beliau menyatakan bahawa Taiwan akan menikmati tahap autonomi yang tinggi sebagai wilayah pentadbiran khas dan ruang yang luas untuk pembangunan jika ia memilih untuk bersatu semula dengan China.

Dalam temu bual dengan Financial Times pada Jumaat, Musk mencadangkan supaya zon pentadbiran khas diwujudkan di Taiwan yang munasabah dan lebih fleksibel sebagai penyelesaian damai untuk ketegangan antara tanah besar China dan Taiwan.

Pada Ogos lalu, Speaker Dewan Rakyat Perwakilan AS, Nancy Pelosi melawat Taiwan sekali gus meningkatkan ketegangan hubungan antara Taipei dengan Beijing.

Lawatan itu dikecam China yang dianggapnya sebagai tanda sokongan terhadap pemisahan Taiwan menyebabkannya melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar pulau itu.

Taiwan telah ditadbir secara berasingan dari China sejak tahun 1949 tetapi Beijing menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya. - Agensi

Artikel Berkaitan: