CNN mohon maaf buat penggambaran di lokasi tragedi amuk taska

Ketua Eksekutif Pertubuhan Pentadbiran Daerah Kecil Uthai Sawan, Danaichok Boonsom bercakap kepada pemberita di balai polis di Uthai Sawan, timur laut Thailand pada Ahad. Polis Thailand sedang menyiasat laporan bahawa kru CNN memasuki pusat jagaan secara tidak wajar. - Foto AP/Sakchai Lalit
Ketua Eksekutif Pertubuhan Pentadbiran Daerah Kecil Uthai Sawan, Danaichok Boonsom bercakap kepada pemberita di balai polis di Uthai Sawan, timur laut Thailand pada Ahad. Polis Thailand sedang menyiasat laporan bahawa kru CNN memasuki pusat jagaan secara tidak wajar. - Foto AP/Sakchai Lalit
A
A
A
BANGKOK - CNN mengemukakan permohonan maaf susulan insiden menjalankan penggambaran di pusat asuhan kanak-kanak di Uthai Sawan, Nong Bua Lamphu yang menjadi lokasi pembunuhan berdarah serta menarik balik video itu daripada laman sesawangnya.

Dua wartawan CNN itu - seorang warga Australia, 47, dan seorang warga Britain, 34 - didenda 5,000 baht dan meninggalkan negara itu selepas pihak berkuasa mendapati mereka menyalahgunakan visa pelancong.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan daripada tuduhan memasuki dan membuat penggambaran di tempat kejadian tanpa kebenaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Jeneral Surachate Hakparn berkata, siasatan mendapati pasukan itu mendapat kebenaran daripada pegawai kesihatan yang berada di tempat kejadian.

Kedua-dua wartawan berkenaan tidak menyedari bahawa pegawai kesihatan itu tidak mempunyai kuasa memberi kebenaran untuk memasuki premis terbabit, katanya.

Kedua-dua wartawan itu turut mengemukakan permohonan maaf.

"Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Thailand terutamanya keluarga mangsa tragedi.

"Kami sangat menyesal dengan perbuatan kami yang telah menambahkan lagi kesedihan dan penderitaan. Itu bukan niat kami,” kata seorang daripada kru CNN, Anna Coren.

Sementara itu, naib presiden eksekutif dan pengurus besar CNN International, Mike McCarthy turut memohon maaf.
Artikel Berkaitan:


Dalam satu kenyataan, beliau kesal atas kesilapan yang dibuat dan kesulitan yang mungkin dihadapi polis Thailand

Beliau berkata, CNN telah berhenti menyiarkan laporan itu dan menarik balik video itu daripada laman sesawangnya.

"Pihak kami tidak pernah berniat untuk melanggar mana-mana peraturan dan tiada tali garisan polis di sekitar tempat kejadian ketika itu.

"Selepas membuat rakaman selama kira-kira 15 minit, pasukan itu cuba beredar namun, pintu pagar perkarangan ditutup dan tali garisan polis telah dipasang, mereka terpaksa memanjat pagar untuk keluar,” katanya.

Kelab Wartawan Asing ke Thailand (FCCT) menegaskan tindakan dua kru CNN itu adalah tidak profesional dan melanggar etika kewartawanan dalam pelaporan jenayah.

Pada Khamis seorang anggota polis yang dipecat bertindak membunuh 36 orang termasuk 24 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun dan 12 dewasa termasuk isterinya di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu.

Lelaki berusia 34 tahun itu dilaporkan membunuh 23 kanak-kanak yang sedang tidur selepas mereka selesai menikmati makan tengah hari.

Pembunuh kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan pulang ke rumah dan membunuh isteri serta anak lelakinya sebelum bertindak membunuh diri. - Bernama