Bajet 2023 iktiraf peranan wanita segenap lapisan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pelbagai inisiatif dan keistimewaan diberikan kepada wanita menerusi Bajet 2023 yang membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan setiap golongan kaum hawa tidak kira siapapun, termasuk suri rumah, yang bekerjaya, para ibu mahupun usahawan.

Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Profesor Madya Dr Sharifah Syahirah S Shikh berkata, Bajet 2023 juga mengiktiraf kepakaran wanita dalam meningkatkan ekonomi negara.

Malah beliau berkata, belanjawan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil cuti rehat daripada kerjaya (career break).

"Selain itu, ia turut memperkukuhkan lagi peranan wanita sebagai pemimpin,” katanya ketika dihubungi di sini.



Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028 bagi menggalakkan wanita kembali bekerja selain memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Selain itu, para ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai secara one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

Mengulas mengenai pemberian bantuan tunai itu, Sharifah Syahirah berkata, ia mencerminkan keprihatinan kerajaan mengenai kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental ibu selepas bersalin dan secara tidak langsung membantu mengurangkan perbelanjaan keluarga.

Katanya, pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar yang diumumkan kerajaan juga mempamerkan keprihatinan kerajaan kepada keluarga yang mempunyai anak kecil selain memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan berkata, organisasi itu memuji usaha penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah penting untuk memberi perhatian terhadap pelaksanaannya kelak, bagi memastikan tribunal berkenaan berpaksikan mangsa.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, beliau berkata, peningkatan penyertaan wanita dalam ekonomi telah diterima sebagai laluan kritikal untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Bagaimanapun menurut beliau, bajet kali ini tidak memberi tumpuan kepada langkah penting yang akan membolehkan penyertaan ekonomi yang lebih besar daripada kalangan wanita.

"Antara lain, ia kurang mengiktiraf keperluan dalam penjagaan kanak-kanak yang boleh diakses secara universal dan mampu milik di dalam komuniti ramai.

"Peruntukan berkaitan yang disediakan dalam belanjawan ini nampaknya disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana dan bukannya kumpulan B40, yang jelas amat memerlukan penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti yang berpatutan dan standard,” jelasnya. - Bernama