Puad beri bayangan Parlimen bubar

Tangkap layar Facebook Puad pada Ahad.
Tangkap layar Facebook Puad pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan Parlimen akan dibubarkan esok.

"Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya. 'Raya' atau 'Pilihan raya'," tulisnya ringkas di laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang tadi telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan tersebut dikatakan untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Khamis lalu, Istana Negara menjadi tumpuan pihak media susulan Ismail Sabri hadir menghadap baginda selama sejam.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula sebelum ini menetapkan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan pada tahun ini.