Batu Puteh: Kerajaan teliti langkah kembalikan maruah negara

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah meneliti dan memuktamadkan beberapa langkah yang akan dilaksanakan demi mengembalikan maruah serta kedaulatan negara berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan terutama melibatkan isu persempadanan maritim Malaysia dan Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan pada Ahad berkata, Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah membentangkan laporan berkaitannya dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan pasukan petugas khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan, mengadakan siri perbincangan dan mesyuarat serta lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, pasukan itu juga telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil merangkumi aspek undang-undang, tort of misfeasance dan hubungan Malaysia-Singapura.

Biarpun tidak memperincikan langkah yang akan dilaksanakan, Wan Junaidi menegaskan, bahawa penambahbaikan yang dicadangkan pasukan petugas khas adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian dan pemerhatian ahli pasukan itu.

"Pelaksanaan pasukan petugas khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini dan menyokong dasar luar negara iaitu antara lainnya, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keselamatan Malaysia,” katanya.

Laporan tersebut disediakan dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 November 2021 sehingga 30 Ogos lepas.

Pada 29 Oktober tahun lepas, kabinet bersetuju membentuk pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan itu ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan. - Bernama