Penubuhan CDERT Air Itam tepat, sedia hadapi bencana

Kon Yeow (dua dari kanan) memakaikan jaket CDERT ketika merasmikan Pasukan CDERT Air Itam pada Ahad.
Kon Yeow (dua dari kanan) memakaikan jaket CDERT ketika merasmikan Pasukan CDERT Air Itam pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti Pertahanan Awam (CDERT) Air Itam tepat pada waktunya berikutan negara kini menghadapi cuaca tidak menentu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan CDERT di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam itu menjadikan keseluruhan 14 pasukan CDERT di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik sebarang bentuk kerjasama termasuk inisiatif penubuhan pasukan CDERT.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikannya. Penubuhan pasukan CDERT Air Itam ini sangat tepat pada masanya memandangkan ketika ini, kita berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan terutama bencana alam.

Mengambil iktibar daripada pengalaman Pulau Pinang yang pernah berdepan banjir besar pada November 2017, kerajaan negeri melalui Agenda Hijau merangkumi pendekatan Daya Tahan Terhadap Kecemasan Iklim, telah menubuhkan Unit Bencana bagi mengenalpasti langkah-langkah untuk meningkatkan ketahanan terhadap bencana di Pulau Pinang.

"Ia dilakukan melalui perancangan bersepadu yang mana penyelidikan dan pengumpulan data berhubung perkara berkaitan akan dijalankan oleh agensi negeri, Penang Green Council (PGC)," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pasukan CDERT Air Itam di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap penubuhan CDERT melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus diperkasakan dan dilengkapkan dalam pelbagai aspek.

"Dengan penubuhan CDERT ini, ia akan terus diperkasa supaya mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi serta mampu mengurangkan risiko bencana supaya lebih bersiap siaga dalam pengurusan bencana seperti banjir.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana CDERT merupakan satu institusi yang penting kerana ia akan bertindak sebagai 'first responder' bagi sebarang bentuk bencana yang berlaku di negeri kita kelak. Peranan ahli-ahli CDERT adalah sangat penting, kerana ia melibatkan harta dan nyawa mereka dalam komuniti anda sendiri," katanya.

Kon Yeow menambah, penubuhan pasukan CDERT juga dilihat mampu memupuk semangat dan kerjasama dalam komuniti, selain menerapkan nilai dan budaya dalam konteks kesukarelawan.

"Kerajaan negeri berhasrat agar penubuhan pasukan CDERT ini terus mendapat sambutan di setiap MPKK, dengan sokongan dan kerjasama APM Pulau Pinang di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Ishak Mohd Radzi.

"Saya juga berharap melalui penubuhan CDERT ini, matlamat kita untuk penglibatan aktif seluruh masyarakat di dalam pengurusan bencana seperti banjir, ribut dan sebagainya akan dapat dicapai.

"Penglibatan aktif masyarakat amat diperlukan dan untuk kita merealisasikan hasrat ini, ia memerlukan pelbagai bentuk latihan dan perkongsian kepakaran secara berterusan dan konsisten," kata beliau.