Judi dalam talian di sebalik restoran

Polis ketika memeriksa lima lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di sebuah restoran.
Polis ketika memeriksa lima lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di sebuah restoran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah premis perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik restoran di Taman Sri Sinar, Segambut, di sini diserbu sepasukan polis dalam Ops Dadu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan lima lelaki warga tempatan yang leka bermain judi dalam talian pada jam 5 petang.

"Semasa serbuan dilakukan, lima pelanggan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk bermain judi dalam talian di sebuah bilik di restoran tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Eng Lai berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing yang merupakan penjaga premis berkenaan.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM720, tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit modem, satu unit wifi router, tiga meja panjang dan tujuh buah kerusi plastik," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan premis perjudian itu dipercayai telah beroperasi sejak dua minggu lalu.

"Kesemua suspek berusia 40 hingga 75 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1)(c) akta yang sama.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menguruskan talian pertaruhan aktiviti perjudian dan Seksyen 6 (1) akta yang sama kerana bermain judi atas talian," ujarnya.

Artikel Berkaitan: