Penduduk pedalaman nikmati harga barang lebih murah tahun depan

Rosol
Rosol
A
A
A
KUALA NERUS - Peruntukan RM200 juta melalui Bajet 2023 bagi menampung kos pengangkutan untuk Program Penyeragaman Harga dan Pengedaran Barang Perlu, akan membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar dan pedalaman menikmati harga barangan yang sama dengan harga yang ditawarkan di kawasan bandar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata peruntukan itu membolehkan kementerian memperluaskan Program Penyeragaman Harga dan Pengedaran Barang Perlu yang telah dilaksanakan sebelum ini ke lebih banyak kawasan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Jadi ini memberi kemudahan kepada rakyat di pedalaman menikmati harga barang yang sama seperti di bandar kerana kita telah lantik kontraktor secara tender untuk membekalkan barang keperluan di kawasan pedalaman,” katanya kepada pemberita pada Karnival Jom Heboh 2022 Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, dekat sini pada Sabtu..



Beliau berkata, setakat ini Program Penyeragaman Harga dan Pengedaran Barang Perlu telah memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta penduduk di lebih 700 kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.

Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada Jumaat memperuntukkan RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan untuk pengedaran barang perlu sebagai inisiatif kerajaan memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai kepada penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, Rosol berkata, kementerian akan tetap meneruskan penganjuran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) secara besar-besaran pada tahun hadapan, meskipun peruntukan yang diberikan bagi kempen itu melalui Bajet 2023 adalah RM10 juta, berbanding RM20 juta untuk tahun ini.
Artikel Berkaitan:


"KBBM ini telah dilancarkan sejak 1984, namun kita melihat perlunya untuk diperhebatkan lagi kempen ini. Kita (Malaysia) sudah ada keluaran kereta, motosikal, penghawa dingin, pelbagai barangan makanan dan sebagainya. Jadi kita akan buat kempen itu besar-besaran tahun depan. Maknanya semua produk keluaran Malaysia kita akan kumpulkan dalam satu jualan karnival.

"Selain menghimpun usahawan tempatan termasuk usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) jualan mega itu juga akan membolehkan pengunjung membeli barang seperti kereta di tempat jualan itu juga. Maknanya akan ada perkhidmatan bank dan sebagainya,” katanya. - Bernama