Stereng kereta didakwa tersekat akibatkan kemalangan

Kereta yang dinaiki empat beranak dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda di sini pada Sabtu.
Kereta yang dinaiki empat beranak dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu sebuah kereta yang terlibat kemalangan melibatkan isterinya maut dan dua anaknya cedera di Persiaran Raja Muda di sini mendakwa stereng keretanya tersekat sehingga mengakibatkan terbabas dan melanggar pokok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan mendapati kereta yang dinaiki empat beranak itu dari Bulatan Bestari menghala ke Bulatan Mestika.

"Siasatan awal mendapati, pemandu berumur 43 tahun itu mendakwa stereng kenderaannya tiba-tiba tersekat.

"Akibat daripada itu, mangsa mendakwa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kejadian mengakibatkan seorang wanita yang merupakan isteri mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selain dua anaknya cedera.

"Mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat. Pemandu dan kedua-dua anaknya masing-masing berumur dua tahun dan lapan bulan turut dibawa ke hospital sama bagi rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," katanya.

Pada Sabtu, seorang wanita maut manakala suami dan dua anak termasuk seorang bayi cedera setelah kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Persiaran Raja Muda di sini.

Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun itu membawa tiga penumpang iaitu isteri mangsa berumur 29 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dan seorang bayi lelaki berumur lapan bulan ketika kejadian.