Lelaki maut kereta bertembung lori tangki

Kereta yang dipandu mangsa remuk selepas bertembung dengan sebuah lori tangki di Segari. - Foto Bomba Perak
Kereta yang dipandu mangsa remuk selepas bertembung dengan sebuah lori tangki di Segari. - Foto Bomba Perak
A
A
A

LUMUT - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan lori tangki di Batu 8, Segari di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan awal kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan lori tangki muatan biji soya.

Menurutnya, siasatan mendapati lori terbabit dalam perjalanan menuju ke Pantai Remis telah bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.

"Punca kemalangan berlaku akibat daripada kereta yang dipandu dari arah Pantai Remis ke Segari dipercayai telah hilang kawalan.

"Keadaan itu menyebabkan kereta terbabit telah masuk ke laluan lori lalu bertembung dan terbabas ke tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel Berkaitan:

Nor Omar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk di bedah siasat.

"Pemandu lori berusia 38 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki telah dibawa menerima rawatan di hospital sama.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.