Kompleks Akademi My #QuranTime RM20 juta dibina tahun depan

Hussamuddin bersalaman dengan peserta selepas selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
Hussamuddin bersalaman dengan peserta selepas selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan membina sebuah Kompleks Akademi My #QuranTime bernilai RM20 juta di Bandar Baru Bangi, Selangor tahun depan.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kompleks berkenaan akan dibina di atas tanah yang telah diinfakkan kepada yayasan itu seluas 0.6 hektar.

Katanya, pembinaan kompleks yang bakal berfungsi sebagai pusat penyiaran bagi semua program berkonsepkan al-Quran itu hasil daripada infaq abadi atau wakaf.

“Kompleks ini juga akan menjadi tempat untuk asatijah untuk menjalankan kajian bagi menambahbaik lagi program pada masa akan datang. Insya-ALLAH kompleks ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Pembinaan kompleks yang dijangka mencecah RM20 juta ini dijangka dapat dicapai memandangkan hasil kutipan untuk infaq atau wakaf masih lagi berterusan.

“Jadi, dengan siapnya akademik ini harapan kita untuk membawa gerakan menghurai al-Quran ke antarabangsa supaya konsep tadabbur, faham dan amal ini ke pelbagai bahasa di seluruh dunia,” katanya ketika ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, pada Sabtu.

Tambah Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, hampir kesemua aktiviti yang dilaksanakan WUIF yang mula diwujudkan lebih 10 tahun lalu itu adalah hasil sumbangan orang ramai khususnya pengikut setia setiap program yang dilaksanakan yayasan itu.

“Sepanjang pelbagai program yang dijalankan WUIF, penonton setia telah menginfaq dan memberi wakaf abadi melebihi RM20 juta.

Artikel Berkaitan:

“Semasa kita melancarkan Tabung Al-Quran, kita sasar untuk kutip 15,000 naskah tetapi alhamdulilah kita dapat 300,000 naskah, di mana kita berjaya kumpul RM13 juta,” katanya.

Jelasnya, sumbangan yang diterima melalui infaq itu kemudiannya telah diagihkan kepada pelbagai pihak antara hospital dan sebagainya dengan mewujudkan Al-Quran Corner.

“Pada awal penubuhan WUIF sebelum ini, saya dan Kumpulan Karangkraf yang membiayai dana bagi setiap program yang dijalankan dan alhamdulillah sekarang ummah yang memberi dana.

“Sehingga kini kita telah menerima lebih RM20 juta selama tiiga tahun dan wang ini digunakan dengan setelusnya. Kita mempunyai akaun untuk menguruskan dana,” katanya.

Justeru, Hussamuddin turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membuat audit terhadap yayasan yang diterajuinya itu sekiranya wujud keraguan dalam menguruskan dana tersebut.

Sementara itu, kira-kira 8,000 peserta diraikan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang julung kali diadakan itu.

Program My #QuranTime diasaskan WUIF dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan TV Alhijrah sebagai penyiar utama.

My #QuranTime merupakan program interaksi dengan al-Quran melalui tadabbur 114 surah/ 604 halaman yang bersiaran di TV Alhijrah dan platform Facebook My #QuranTime dan YouTube My #QuranTime pada pukul 12 hingga 1 tengah hari setiap hari bermula 8 Jun 2020.

Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti program berkenaan.