Bajet 2023: Pekebun kecil getah Felda turut terima BMT RM800

Ismail Sabri ketika hadir Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Felda Palong pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika hadir Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Felda Palong pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah yang dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 turut diperuntukkan kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, justeru bagi membolehkan mereka menerima bantuan itu, dasar pemberian yang mensyaratkan hanya pekebun kecil getah yang mempunyai tanah seluas bawah lima ekar (2.02 hektar) sebelum ini akan diubah kepada 10 ekar (4.05 hektar) ke bawah.

"Dulu kita payah nak bagi sebab (syaratnya) lima ekar ke bawah sedangkan di Felda kebanyakan mereka ada tanah 10 ekar ke bawah, jadi kita minta ubah dasar itu untuk membolehkan mereka dapat (BMT). Kita tahu harga getah turun dan mereka langsung tak boleh menoreh getah sebab musim hujan.

"Menoreh musim hujan tapi susu getah bercampur air hujan, saya tahu kesusahan pekebun kecil termasuk mereka di Felda. Jadi apa yang pekebun kecil RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dapat iaitu sebanyak RM200 sebulan untuk empat bulan maka pekebun kecil getah di Felda juga akan dapat, inilah kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kenduri Sekampung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan di sini pada Sabtu. Hadir sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat adalah selari dengan gagasan Keluarga Malaysia yang jelas menunjukkan tiada golongan yang dipinggirkan.

"Kita nak semua dapat faedah supaya kita makmur secara bersama dan semua mendapat pembelaan daripada kumpulan miskin tegar, golongan keluarga kurang berkemampuan B40 dan M40 yang sebelum ini bising selalu ditinggalkan, tetapi bajet (diumumkan) semalam menyediakan pelbagai insentif kepada M40.

"Selain itu, ia turut termasuk bantuan kepada golongan petani; nelayan; pekebun kecil getah; peniaga kecil dan sederhana; perusahaan mikro, kecil dan sederhana; golongan wanita banyak bantuan akan diterima; golongan belia serta warga emas," katanya menambah belanjawan itu turut tidak meminggirkan semua sektor di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan pada Jumaat membentangkan Bajet 2023, memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion yang sebahagiannya diilhamkan oleh Keluarga Malaysia dan berhasrat untuk menjadi 'responsif, bertanggungjawab dan reformis'.

Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.

Ismail Sabri sebelum itu meluangkan masa kira-kira dua jam di program kenduri berkenaan dan turut beramah mesra bersama tetamu serta menikmati masakan tradisional Negeri Sembilan seperti daging masak lompap dan masak lemak cili api.

Dianggarkan kira-kira 20,000 pengunjung hadir pada Program Kenduri Sekampung itu yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong 7 sempena Jelajah AKM yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan Kementerian Kesihatan sebagai peneraju. - Bernama