Penubuhan tribunal atasi masalah gangguan seksual

Noraini
Noraini
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mengatasi isu gangguan seksual dalam kalangan wanita di negara ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif-inisiatif lain dalam Bajet 2023 juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam soal pembelaan nasib wanita.

“Bagi melengkapi inisiatif ini, satu sistem sokongan turut disediakan dengan penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai intervensi awal yang menyediakan perkhidmatan advokasi psikologi dan kaunseling,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Noraini, Wanita UMNO juga menyambut baik usaha mengupayakan wanita di dalam sektor ekonomi dengan penyediaan dana pembiayaan khas untuk wanita melalui skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat.

Bantuan ini katanya, merupakan satu pengiktirafan kepada wanita sebagai daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara.

“Wanita UMNO menghargai dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada wanita seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, di mana komposisi ahli lembaga pengarah wanita bagi 100 syarikat senaraian awam utama kini telah mencecah 29 peratus.

“Ini selari dengan agenda 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan yang diperjuangkan oleh Wanita UMNO selama ini,” ujar beliau.

Selain itu, Wanita UMNO turut mengalu-alukan pengumuman inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia yang memperuntukkan kepada ibu-ibu daripada kalangan penerima BKM (Bantuan Keluarga Malaysia) yang melahirkan anak pada tahun 2023, dengan pemberian bantuan tunai sebanyak RM500.

Artikel Berkaitan:

Pemberian ini katanya, melambangkan keprihatinan kerajaan kepada kaum ibu di negara kita.

“Banyak lagi inisiatif yang turut dibentangkan dalam membela dan memperkasa wanita di negara ini.

“Atas dasar keprihatinan kerajaan ini, Wanita UMNO mengucapkan jutaan terima kasih dan berharap dengan sokongan berterusan terhadap wanita ini, ia mampu mengangkat martabat wanita sekali gus menjadi pemangkin kepada wanita untuk terus maju dan berdaya saing,” katanya.