Kenaikan had pelaburan ASB, ASB2 dorong budaya menyimpan

Kerajaan menaikkan had maksimum pelaburan individu bagi ASB dan ASB2 kepada RM300,000 mulai 2023.
Kerajaan menaikkan had maksimum pelaburan individu bagi ASB dan ASB2 kepada RM300,000 mulai 2023.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menaikkan had maksimum pelaburan individu bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB2 kepada RM300,000 mulai 2023, dapat menyemai budaya menyimpan serta tabiat pelaburan rakyat Malaysia terutama dalam senario kadar faedah yang terus meningkat, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata, langkah yang dicadangkan di bawah Bajet 2023 itu juga tepat bagi menggalakkan isi rumah menyimpan sama ada menerusi pendapatan boleh guna atau pembiayaan ASB.

"Bagi saya ini satu langkah yang baik dalam persekitaran kenaikan kadar faedah masa ini.

"Kita boleh menjangkakan pulangan aset bebas risiko akan meningkat seiring dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Ini akan menggalakkan isi rumah untuk menabung dengan memanfaatkan lebihan dan pendapatan boleh guna atau pembiayaan ASB,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan cadangan kenaikan had maksimum individu bagi ASB dan ASB2 kepada RM300,000 daripada RM200,000 bermula tahun depan.

Menurutnya, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan turut membantu dengan menyediakan pembiayaan mudah bagi membantu golongan Bumiputera B40 melabur dalam ASB dengan pinjaman pada kadar 1.5 peratus untuk RM100,000.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Dr Geoffrey Williams berkata secara amnya sebarang usaha menggalakkan orang ramai menyimpan dan melabur adalah sesuatu yang positif, dengan syarat ini turut disertai dengan insentif cukai.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, tindakan menaikkan had itu hanya membantu jika anda turut mendapat pulangan cukai yang menarik. Jika tidak, perubahan itu hanya menguntungkan kalangan mereka yang kaya dan tidak memberi banyak kesan ke atas Bumiputera yang berpendapatan rendah manakala kumpulan lain pula tidak layak,” katanya.

Beliau turut memetik maklumat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa masyarakat Bumiputera adalah yang paling terjejas dari segi pengeluaran caruman serta mempunyai kadar simpanan terendah.

"Mungkin lebih baik untuk menyimpan dan meningkatkan semula caruman KWSP yang menawarkan dividen lebih tinggi.

"Atau ringkasnya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang bersaing mendapatkan dana Bumiputera dan seakan tidak logik jika matlamatnya hanyalah untuk menggalakkan jaminan kewangan jangka panjang serta pencen," katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn berkata PNB berasa bangga dapat diberi peluang untuk membolehkan peningkatan budaya menyimpan dan pelaburan dalam kalangan rakyat.

"Ini juga sejajar dengan mandat PNB untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan semua rakyat Malaysia demi kemakmuran negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PNB menerusi anak syarikat pengurusan unit amanahnya iaitu Amanah Saham Nasional Bhd, akan mengumumkan perincian had pelaburan ASB dan ASB2 itu tidak lama lagi. - Bernama.