Pembangkang Pahang perlu akur jika PRU15 masa banjir

Young Syefura Othman
Young Syefura Othman
A
A
A

KUANTAN - Pembangkang Pahang perlu akur sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap akan diadakan pada November depan.

Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman berkata, ini kerana bidang kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang diletakkan di bawah pemerintahan BN.

"Kita sebagai wakil sama ada ahli Parlimen mahu pun ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpaksa berdepan dengan PRU kerana kita adalah pembangkang.

"Kita tidak boleh buat apa kerana PH tidak memerintah di Pahang, kalau kita (PH) adalah kerajaan di Pahang kita tidak akan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan PRU15," katanya ketika ditemui di Kampung Razali di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Norhaizan Abu Hassan merasmikan Jelajah PH Pahang bertemakan MohTukar Pahang yang diadakan bermula pada Sabtu.

Lebih 100 penduduk setempat hadir pada program jelajah terbabit dengan menyertai pelbagai pertandingan seperti bola jaring, mewarna dan bola sepak penalti remaja dan dewasa.

Young Syefura (dua, kiri) menyerahkan enjin bot kepada sukarelawan banjir PH selepas majlis perasmian Jelajah PH Pahang bertemakan MohTukar Pahang yang diadakan di Kampung Razali di sini pada Sabtu.
Young Syefura (dua, kiri) menyerahkan enjin bot kepada sukarelawan banjir PH selepas majlis perasmian Jelajah PH Pahang bertemakan MohTukar Pahang yang diadakan di Kampung Razali di sini pada Sabtu.

Young Syefura memaklumkan, tindakan beberapa negeri yang tidak mahu membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi pelaksanaan PRU15 adalah demi keselamatan dan kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu PRU15 diadakan pada banjir, kalau masih berlaku PRU, kita sebagai ADUN pembangkang mahu tidak mahu terpaksa akur terutamanya di negeri yang ditadbir BN," tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai Jelajah PH Pahang, Young Syefura berkata, itu antara program bagi mendekati rakyat di setiap pelosok di negeri ini.

Jelasnya, malah ia juga sebagai satu persediaan untuk menghadapi PRU15 yang diadakan pada bila-bila masa.

"Adanya program jelajah PH Pahang kira dapat tunjukkan bahawa kita bukan sahaja bersiap sedia untuk menghadapi banjir tetapi juga menghadapi PRU.

"Kalau PRU tahun hadapan pun kita tetap akan adakan program seperti ini kerana sudah tiba masanya untuk kita berjumpa rakyat, menerangkan isu nasional dan isu kerajaan negeri," ujar beliau lagi.