Bajet 2023 pacu sektor pertanian Terengganu

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bajet 2023 penting bagi memacu sektor pertanian agar memberi sumbangan lebih signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan Terengganu lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan apa yang dibentangkan, Bajet 2023 dilihat bertepatan dalam menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

"Bajet 2023 telah memberikan perhatian serius terhadap sektor pertanian terutama bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, mengusahakan pertanian lestari, melaksanakan projek pertanian moden, memberi galakan kepada perniagaan dan usahawan pertanian serta membangunkan infrastruktur.

"Inisiatif-inisiatif itu juga penting untuk Terengganu memacu sektor pertanian agar memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan negeri ini lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Samsuri berkata, pelbagai bantuan tunai serta inisiatif yang akan diberi bagi memastikan golongan sasar terus berdaya saing merupakan pendekatan yang sangat strategik untuk kebaikan jangka masa panjang.

"Saya ingin merakam ucapan terima kasih atas beberapa projek yang diumumkan untuk Terengganu antaranya bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Marang, penanaman semula ladang Orang Asli di Kemaman, pengurusan sisa pepejal di Pulau Perhentian dan projek pemuliharaan sungai di Muara Sungai Merang.

"Saya juga berharap Terengganu diberi keutamaan untuk mendapat manfaat daripada dana yang disediakan bagi membiayai infrastruktur pelancongan untuk menggalakkan, mempromosi dan memasarkan produk pelancongan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada seluruh jentera kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat Terengganu agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih dan tahniah atas pembentangan Bajet 2023 yang menyeluruh. Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberkati negara dan negeri kita," katanya.

Ahmad Samsuri turut berkata, Bajet 2023 Terengganu yang dijangka dibentangkan pada hujung November nanti akan memberikan keutamaan terhadap tiga teras.