Pemuda UMNO desak RCI ditubuhkan siasat TH

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki -Foto Sinar Harian
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki -Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan dan salah laku yang berlaku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang terdahulu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan RCI penting untuk menjernihkan kekusutan masyarakat terhadap fenomena tuduh-menuduh dan salah sangka sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada TH.

Menurutnya, isu melibatkan TH juga berkait dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan institusi Parlimen yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia Badan-Badan Berkanun termasuk TH seperti diperuntukkan dalam Akta Parlimen.

“Dakwaan pemberian hibah oleh pengurusan terdahulu yang tidak mematuhi Akta Tabung Haji 1995 selama empat tahun terdahulu adalah suatu yang amat serius dan boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan umat Islam terhadap institusi ini.

“Bahkan, dakwaan pemimpin PH menuduh wujudnya kerugian besar berjumlah RM10 bilion yang disembunyikan juga amat serius kerana setiap tahun TH diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebelum laporan kewangannya dibentangkan di Parlimen.

“Justeru jika benar wujud penyelewengan dan manipulasi akaun, maka Jabatan Audit Negara perlu disiasat dan apa jua laporan yang disahkan perlu ditarik balik daripada Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyenaraikan beberapa sebab lain yang menyebabkan perlunya RCI dibentuk dan ia termasuklah kerana wujudnya pertikaian dalam kaedah penilaian aset antara pengurusan lama dan baru TH.

Jelasnya, pertikaian itu memberi kesan besar terhadap keseimbangan aset dan liabiliti dan beliau berpendapat siasatan perlu dilakukan bagi mengesan sama ada wujud salah laku atau tidak.

Artikel Berkaitan:

“Perbezaan ketara dalam kaedah menilai aset inilah yang membolehkan hibah dibayar selama ini oleh pengurusan lama dan dianggap bertentangan dengan Akta Tabung Haji oleh pengurusan baru,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan jamin wang pendeposit TH selamat: Mujahid

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menyatakan segala dakwaan mengenai kesalahan kaedah penilaian aset, sebagai contoh, tidak mengambil kira rosot-nilai juga boleh dikaitkan dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara.

“TH sebagai Badan Berkanun yang turut dikawal selia melalui Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menentukan kaedah penyediaan akaun dan laporan kewangan termasuk metodologi penilaian aset.

“Berdasarkan kepada itu, TH juga perlu juga disiasat sama ada segala urusan penyediaan akaun dan laporan kewangannya benar-benar mematuhi akta ini. Akta ini juga mewajibkan Badan-badan Berkanun termasuk TH untuk mengemukakan sebarang cadangan penyediaan akaun termasuk kaedah penilaian aset kepada Ketua Audit Negara,” katanya.

Katanya lagi, siasatan terperinci perlu dilakukan terhadap beberapa pelaburan TH yang mengalami kerugian dan dikaitkan dengan penyelewengan seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation.

“Ia bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar sama ada ia merupakan kesalahan jenayah, kelemahan tadbir urus organisasi atau ia adalah kerugian biasa pelaburan. Berdasarkan rasional-rasional tersebut, maka Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mendesak agar RCI mengenai TH dapat segera ditubuhkan,” tegas beliau.