RM55 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif

Dana RM55 bilion bertujuan meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan. - Foto Bernama
Dana RM55 bilion bertujuan meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM55 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah dana yang besar itu bertujuan meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.

"Kerajaan komited untuk memastikan keperluan asas seperti minyak masak, gas, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga berpatutan," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Menurutnya, sebanyak RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu.

"Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu Sabah," katanya.

Beliau berkata, Program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

"Sejak dilancarkan, program ini telah diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini telah dianjurkan di Kanowit, Sarawak.

"Melihatkan impak positif program ini khususnya buat isi rumah B40, kerajaan komited untuk meneruskan pelaksanaannya di seluruh negara meliputi 600 Dewan Undangan Negeri (DUN), 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di universiti awam dengan peruntukan RM100 juta," katanya.

Artikel Berkaitan: